mutakhir

'Kami reda Adithiyan 'pergi' dahulu' [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: "Saya kehilangan 'harta' berharga, dan ini dugaan buat kami sekeluarga, malah saya reda kerana kejadian berlaku secara tidak sengaja," kata M Jegathisan, 39, bapa kepada Adithiyan, 7, yang maut tertusuk pisau di dadanya di Taman Cempaka, Kampung Koh, Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada 10.10 malam itu, Adithiyan atau nama manjanya, Adi yang dikatakan berlari masuk ke dalam rumah ibu saudaranya tertusuk pisau dipegang kakak sepupunya ketika mereka sedang membuat persiapan sambutan Deepavali.

Jegathisan berkata, dia dan keluarga berharap tiada yang membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu sebaliknya mendoakan anak bongsu daripada tiga beradik itu tenang.

Menurutnya, mereka sekeluarga juga menerima takdir anak kesayangan mereka pergi dahulu dan mengakui kejadian berlaku secara tidak sengaja.

"Kami hidup sebagai keluarga yang saling sayang menyayangi, Adi dilayan seperti anak sendiri oleh ibu dan bapa saudaranya dan anak saudara juga saya sayang seperti anak sendiri.

"Adi disayangi semua dan hubungannya dengan kakak sepupunya itu juga sangat rapat dan saya faham kejadian ini berlaku secara tidak sengaja dan kita juga tidak menyangka ia akan berlaku," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Katanya, kehilangan Adithiyan yang disifatkan anak yang baik, manja dan sayangkan haiwan bukan saja dirasai ahli keluarga, malah anjing peliharaan mereka, Kutty juga turut merasai kehilangan itu.

"Sejak kejadian itu Kutty kurang mahu makan dan akan mencari Adi sehingga dalam rumah kerana setiap hari Adi akan bermain dengannya.

"Saya juga nampak Kutty sedih dan seperti mahu menangis mencari Adi, malah dia akan tidur di tempat kejadian berlaku," katanya yang berkongsi tarikh lahir dengan anak bongsunya itu.

Ibu saudaranya, M Puvaneswari, 43, berkata, emosi anak saudara perempuannya berusia 11 tahun itu turut terganggu dan sedang melalui saat yang sukar ketika ini.

"Sepupunya masih trauma, dia selalu menangis dan sukar tidur. Dia menangis beritahu yang dia tidak buat dan tak sangka (Adithiyan berlari ke arahnya dan mereka bertembung).

"Kami sekeluarga memberinya semangat kerana kejadian berlaku secara tidak sengaja dan hingga kini terbayang keletah Adi yang manja," katanya.

Berita berkaitan

Kempunan makan kari kambing, main bunga api [METROTV]

Kanak-kanak maut tertusuk pisau

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 7:57pm
d