mutakhir

Sewa hotel jadikan markas judi 'online', pelacuran [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Bukan sahaja menawarkan khidmat seks, malah menyediakan komputer untuk permainan judi dalam talian.

Itu kegiatan dilakukan satu sindiket pelacuran dan judi dalam talian yang menjam taliandikan sebuah hotel di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, sebagai 'markas' operasi mereka sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas hotel berkenaan diserbu pihak polis 7.30 malam tadi hasil risikan di lokasi terbabit sejak jam 12 tengah hari, semalam, sebaik menerima maklumat daripada orang awam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, pihaknya menahan enam wanita warga Thailand dan masing-masing seorang wanita warga Vietnam serta Myanmar berusia antara 25 hingga 30 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pelacur di hotel terbabit.

"Kami turut menahan 10 pelanggan terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun selain dua lelaki yang juga penjaga premis membabitkan individu tempatan serta warga Myanmar.

"Dalam operasi ini, kami turut merampas sejumlah kondom, gel pelincir, tisu dan tuala yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pelacuran di hotel ini selain empat komputer riba disyaki digunakan untuk aktiviti judi dalam talian serta wang tunai berjumlah RM1,266," katanya ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Noda di hotel berkenaan, semalam.

Turut hadir dalam operasi itu adalah Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah.

Azmi berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menyewa 37 bilik di hotel berkenaan yang terletak di tingkat tiga bangunan rumah kedai bagi menjalankan aktiviti pelacuran serta judi dalam talian bermula jam 1.20 tengah hari hingga 10 malam setiap hari.

"Kami percaya sindiket ini berjaya meraih kira-kira RM3,000 sehari melalui kegiatan pelacuran sahaja yang dipromosikan menggunakan aplikasi media sosial seperti WeChat dan Whatsapp.

"Malah, sindiket ini turut menerima pelanggan yang datang secara 'walk-in' dengan kadar bayaran dikenakan antara RM180 hingga RM200 bagi setiap sekali perkhidmatan seks diberikan.

"Pelanggan boleh memilih wanita yang dikehendaki dengan meninjau mereka (pelacur) yang menunggu 'lelaki hidung belang' di dalam bilik masing-masing," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu turut dipercayai menjalankan aktiviti judi dalam talian apabila pihak polis menemui lima komputer riba di dua bilik berasingan.

"Empat daripada komputer riba berkenaan memaparkan laman sesawang permainan judi, manakala satu lagi komputer dijadikan sebagai 'server' yang memantau aktiviti terbabit.

"Hasil pemeriksaan di tingkat tiga hotel berkenaan (lokasi serbuan) menemui satu pintu rahsia di tengah-tengah ruang di hotel berkenaan yang menempatkan satu lif dipercayai untuk digunakan pelacur, pekerja mahupun pelanggan melarikan diri sekiranya ada serbuan dilakukan," katanya.

Katanya, semua individu yang ditahan akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Tindakan kompaun itu dibuat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55(b) akta sama," katanya.

Azmi yang baru sahaja menjawat jawatan itu bermula semalam berkata, beliau amat mengharapkan kerjasama daripada orang ramai dalam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan maksiat di persekitaran mereka.

"Seperti operasi malam ini yang dijalankan berpandukan maklumat daripada orang awam, kami harap lebih ramai yang akan tampil menyalurkan maklumat mengenai kegiatan seumpama ini.

"Ini bagi membolehkan tindakan dilakukan pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah serta maksiat," katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 8:15am
d