mutakhir

13 suspek termasuk 9 anggota JIM direman [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini dan Hazri A Bakar

Johor Bahru: Seramai 13 individu termasuk sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) direman tujuh hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membantu siasatan kes pemalsuan cop sempadan negara.

Pendaftar Mahkamah, Mohammad Salehuddin Abd Sani memerintahkan semua suspek berusia 35 hingga 45 tahun itu direman sehingga 23 November ini.

Perintah itu dibuat selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Turut direman adalah empat individu dipercayai bertindak sebagai ejen yang membantu kegiatan jenayah terbabit dengan mendapatkan khidmat cop berkenaan bagi warga asing.

Kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM, Mahadi Abd Jumaat.

Empat tertuduh yang juga ejen diwakili oleh peguam Noordin Hussein, Baharudin Baharim dan Amarpreet Singh, manakala sembilan anggota JIM diwakili S Bharathi.

Menurut sumber, anggota terbabit dipercayai menerima rasuah antara RM100 hingga RM500 bagi setiap passport sejak 2017 hingga tahun ini.

Semalam Harian Metro melaporkan SPRM menahan sekurang-kurangnya 43 individu dipercayai terbabit dalam kes pemalsuan cop sempadan di Johor dan Selangor.

Individu ditahan terdiri daripada anggota JIM dan beberapa orang awam dipercayai bertindak sebagai orang tengah kegiatan itu.

Orang awam terbabit dipercayai bertindak sebagai ejen bagi mendapatkan khidmat cop berkenaan bagi warga asing.

Sumber berkata pasport warga asing yang dicop di sempadan biarpun pemilik dokumen tidak keluar dari negara ini.

Tangkapan dilakukan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar Johor melibatkan sembilan anggota JIM manakala kira-kira 30 lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

Empat orang awam dipercayai sebagai orang tengah turut ditahan di Johor Bahru.

Berita berkaitan

Palsu cop sempadan: 40 pegawai JIM, 3 ejen dicekup

46 ahli sindiket, anggota Jabatan Imigresen tumpas [METROTV]

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 12:15pm
d