mutakhir

ATB 2 tahan 17 awak-awak, tumpaskan kegiatan penyeludupan petrol

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Semporna: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB2) menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak petrol selepas memintas dua buah bot kumpit dan sebuah kapal tangki di kawasan perairan Pulau Ligitan dekat sini, awal pagi tadi.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Johari Mohd Jaafar, berkata ia susulan maklumat dan pengesanan pergerakan mencurigakan kedua-dua bot dan kapal tangki terbabit melalui Radar CSS, di Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) di sini, sebelum berjaya dipintas kira-kira jam 1.05 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota "Quick Reaction Force" (QRF) yang diatur gerak ke lokasi kejadian kemudiannya bertindak menahan 12 awak-awak warganegara Filipina dan lima kru kapal tangki warga tempatan masing-masing berumur antara 20 hingga 54 tahun.

Menurutnya, ketika ditahan semua suspek terbabit sedang leka memindahkan bahan kawalan bersubsidi itu dari kapal tangki ke dalam tong minyak diatas kedua-dua bot kumpit berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua bot kumpit terbabit masing-masing dipercayai sedang memindahkan kira-kira 123,000 liter minyak petrol dari kapal tangki berkenaan.

"Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati bot kumpit pertama hanya sempat memindahkan kira-kira 3,600 liter (18 tong) manakala bot kumpit kedua pula sebanyak 46,600 liter (233 tong) dengan kapasiti setiap tong sebanyak 200 liter," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Johari lagi, nilai keseluruhan barang rampasan termasuk dua bot kumpit dan kapal tangki dianggarkan berjumlah RM 1,185,324.00.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 31(1) Akta Polis 1967 kerana kesalahan melanggar Perintah Berkurung.

"Kesemua suspek di bawa ke Pejabat Kesihatan Daerah Semporna menjalani ujian disaring Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 2:50pm
d