mutakhir

Kenapa tinju kepala orang tanpa sebab?

Oleh BERNAMA

Petaling Jaya: Seorang lelaki warga Nigeria dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, tadi, kerana menumbuk muka seorang lelaki yang ketika itu sedang menelefon rakannya tanpa sebab.

Majistret M. Barath menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Anthony Seyi, 31, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Muhammed Shahrir Badaruddin, 31, dengan memukul bahagian kanan muka mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai motosikal di Seri Kembangan, pada jam 5.15 petang 1 November lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian mangsa yang sedang menelefon rakannya secara tiba-tiba ditumbuk oleh tertuduh dari arah belakang sehingga dia mengalami kesakitan.

Tertuduh kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta ke lokasi yang tidak diketahui.

Daniel Anthony turut dihukum penjara sebulan selepas mengaku bersalah memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah di persimpangan lampu isyarat, Lebuhraya Bukit Jalil, Seri Kembangan di sini, pada jam 6 petang, 2 November lalu mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu serentak bermula dari tarikh tangkap pada 2 November lalu.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 3:23pm
d