mutakhir

5 kluster baharu dikesan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Sebanyak lima lagi kluster baharu Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kluster iaitu Kluster Avenue dan Kluster Kejora membabitkan kawasan di Penampang dan Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, Kluster Avenue merekodkan 110 kes positif selepas saringan dijalankan terhadap 246 individu manakala sembilan dilaporkan positif daripada Kluster Kejora.

"KKM juga mengesan Kluster Kasah di Kepong membabitkan pekerja syarikat keselamatan dengan 19 daripada 70 individu yang disaring adalah positif.

"Kluster Summer di daerah Timur Laut, Pulau Pinang merekodkan 11 kes positif hasil saringan terhadap 53 individu.

"Bagi Kluster Mengketil yang membabitkan daerah Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah di Kelantan dan Besut, Terengganu merekodkan 24 kes positif hasil saringan 210 individu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hari ini juga menyaksikan lima kluster ditamatkan membabitkan Kluster Bangau-Bangau, Tasik, Olive, Buang Sayang dan Kau Sing.

Katanya, daripada 162 kluster aktif yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

"Peningkatan kes mendadak di negeri di Lembah Klang akhir-akhir ini adalah disebabkan peningkatan kes berkaitan dengan tempat kerja berikutan ketiga-tiga negeri ini adalah pusat tumpuan warga pekerja.

"Selain itu, kepadatan penduduk di negeri ini juga menjadi salah satu faktor risiko meningkatnya kadar kebolehjangkitan atau penularan Covid-19.

"KKM sering tekankan terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja antaranya isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan juga persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja," katanya.

Beliau berkata, isu penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara adalah isu penting yang perlu ditangani dan KKM menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam menanganinya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 7:21pm
    d