mutakhir

10 rumah di Kampung Losong dinaiki air [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini, semalam, menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik jam 9.30 malam.

Tinjauan mendapati beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air.

Malah, penduduk juga sudah memindahkan barangan berharga mereka di tempat yang tinggi kerana sudah biasa dengan situasi yang melanda setiap tahun dengan kejadian terburuk berlaku pada 2014.

Penduduk, Mohd Hazizi Muhamad, 32 berkata, dia sudah lali dengan fenomena air pasang besar yang berlaku setiap tahun.

"Kalau ikutkan, air naik sejak tiga hari lalu namun hari ini (semalam) paling tinggi sehingga masuk ke dalam rumah.

"Sebelum ini, pada 2014 pernah juga kawasan rumah dinaiki air dan itu yang paling teruk menyebabkan saya bersama isteri dan dua anak memang sentiasa berjaga-jaga setiap kali musim tengkujuh.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan kerana biasanya air naik dalam tempoh tiga hingga empat jam sebelum surut," katanya yang bekerja sebagai buruh.

Bagi Wan Mohd Adlan Wan Ahmad, 28, perasaan takut tetap ada walaupun sudah biasanya dengan fenomena air pasang besar serta musim tengkujuh yang berlaku setiap tahun.

Katanya, dia bersama penduduk setempat sudah membuat persediaan awal dengan memindahkan barang ke tempat yang tinggi.

"Walaupun berlaku setiap tahun, perasaan takut tetap ada sebab kita tidak tahu air boleh naik setinggi mana selain bimbang dengan kehadiran binatang berbisa dan berbahaya.

"Memang musim tengkujuh kami di sini tidak tidur lena kena bimbang kejadian buruk berlaku cuma tidak pernah berpindah kerana air akan surut," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 8:28am
d