mutakhir

Kuaters guru musnah terbakar

Oleh Mohd Roji Kawi

Sri Aman: Tiga blok kuaters yang menempatkan tujuh unit kediaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jaong, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, lima daripada tujuh unit kediaman itu didiami lapan orang.

Bagaimanapun, semuanya berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.

Beliau berkata, kebakaran itu pada mulanya dikesan di blok pertama yang menempatkan tiga unit kediaman.

"Kebakaran itu kemudian merebak ke blok kedua yang mempunyai dua unit kediaman dan kemudian merebak lagi ke blok ketiga yang juga mempunyai dua unit kediaman.

"Rumah pertama tidak berpenghuni, rumah kedua dihuni seorang guru lelaki, dan rumah ketiga pula didiami seorang guru wanita, manakala rumah keempat pula kosong.

"Rumah kelima didiami seorang guru wanita, rumah keenam juga didiami seorang guru wanita, manakala rumah terakhir didiami sekeluarga seramai empat orang termasuk dua kanak-kanak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan yang memaklumkan kebakaran asrama SK Jaongitu pada 7.30 malam.

Susulan itu katanya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.

"Setibanya di lokasi, didapati bukan asrama sekolah itu yang terbakar, sebaliknya ia membabitkan kuaters kediaman guru.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian itu," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 8:42am
d