mutakhir

Tiga sungai di Terengganu lepasi paras bahaya

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tiga sungai di Terengganu melepasi paras bahaya susulan hujan berterusan sejak semalam.

Ia membabitkan sungai di daerah Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my sehingga 9.30 pagi ini, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu melepasi paras bahaya dengan bacaan 21.67 meter (17 m).

Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu turut melepasi paras bahaya apabila merekodkan bacaan 20.43 m (16.50 m) manakala Sungai Tebak di Jambatan Tebak dekat Kemaman pula merekodkan bacaan 21.79 m.

Selain itu, dua sungai di Setiu direkodkan melepasi paras amaran iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit dengan bacaan 12.04 m dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok pada paras 8.27 m.

Sementara itu, empat lagi sungai iaitu dua di Setiu serta masing-masing satu di Hulu Terengganu dan Besut kini direkodkan pada paras waspada.

Paras air di Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri di daerah Setiu masing-masing direkodkan berada pada paras iaitu 16.76 m dan 7.76 m.

Di Besut, paras air Sungai Besut di Jambatan Keruak direkodkan pada paras 33.48 m manakala

paras air di Sungai Telemong di Kenyir Elephant Village, Hulu Terengganu kini direkodkan pada paras 114.45 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca bahaya peringkat merah dengan hujan sangat lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Terengganu, berkuat kuasa mulai tengah malam semalam hingga hari ini.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 10:33am
d