mutakhir

Paras air Sungai Golok masih tahap normal [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Paras air Sungai Golok masih di tahap normal walaupun hujan lebat sejak semalam.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata setakat jam 11 pagi, bacaan paras air sungai terbabit mencatatkan sebanyak 5.2 meter, sedikit menurun daripada malam tadi iaitu 5.4 meter.

Menurutnya, paras waspada bagi Sungai Golok ialah tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya pada sembilan meter.

"Biasanya, air mula melimpahi tebing Sungai Golok dan membanjiri pekan Rantau Panjang apabila paras sungai ini melepasi 10 meter.

"Sekarang keadaan sungai masih terkawal dengan air yang sedikit deras kerana hujan yang melanda sejak semalam. Taburan hujan dan paras air di hulu Sungai Golok mempengaruhi keadaan banjir di sini.

"Bagaimanapun, masyarakat setempat perlu peka dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang Monsun Timur Laut ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Imran berkata, pihaknya bersedia fizikal dan mental dalam menghadapi musim tengkujuh terbabit dengan norma baharu memandangkan negara kini berhadapan dengan pendemik Covid-19.

"Selain menasihati setiap anggota bertugas, saya juga menyeru semua masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) jika banjir melanda.

"Banjir boleh berlaku bila-bila masa sahaja jika taburan hujan terus meningkat, jadi penduduk setempat perlu mengambil langkah dengan berpindah awal bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 1:04pm
d