mutakhir

Dah bincang cadangan pindaan Akta Imigresen [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperhalusi dan memperincikan hasil perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung cadangan pindaan Akta Imigresen 1959/63 berkaitan isu pendatang asing tanpa izin (Pati).

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ia adalah untuk menggubal satu peraturan dan undang-undang yang sekali gus memperkuatkan serta memperketatkan hukuman sedia ada kepada Pati dan juga majikan terbabit bersalah.

Beliau berkata, KDN sudah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 24 hingga 26 September lalu.

"Perbincangan adalah khusus kepada aspek perundangan bagi menguatkuasakan dan juga meneliti undang-undang dan peraturan yang sedia ada," katanya pada soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail (BN-Kuala Krau) menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) bertanyakan apakah aspek utama yang akan diberikan perhatian khususnya berkenaan dengan perundangan dan dasar iaitu yang akan digubal kelak oleh KDN bagi mengisi sebahagian daripada strategi Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Tanpa Izin (PHPPTI).

Terdahulu beliau menjawab soalan asal Che Alias iaitu status pelaksanaan PHPPTI berkenaan dalam menangani kebanjiran Pati.

Ismail berkata, KDN sentiasa menitikberatkan strategi menangani isu Pati di negara ini yang memerlukan strategi pembanterasan secara berterusan.

"Antara lain yang nak saya nyatakan iaitu lima strategi utama iaitu strategi perundangan dan dasar penguatkuasaan Pati, kedua iaitu strategi kawalan sempadan dan di pintu masuk, ketiga iaitu strategi pengurusan pekerja asing, keempat iaitu strategi operasi penguatkuasaan Pati dan kelima iaitu strategi media dan publisiti.

"Strategi yang digariskan dalam PHPPTI untuk lima tahun ini berlunaskan bidang fokus yang dikenalpasti bersesuaian dengan peranan agensi-agensi yang terlibat.

"Ia dibangunkan bagi memberikan impak signifikan ke arah peningkatan imej penyampaian perkhidmatan awam terutamanya pasukan penguatkuasaan," katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan APMM akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi dikenalpasti menjadi tumpuan warga asing.

Katanya, JIM akan turut membabitkan kerajaan negeri melalui PBT dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta persatuan penduduk menyalurkan maklumat keberadaan Pati dalam menangani masalah Pati secara holistik.

"Selain itu bagi memantau pelaksanaan PHPPTI, KDN turut menubuhkan jawatankuasa induk penguatkuasaan Pati yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KDN yang akan bersidang sebanyak empat kali setahun," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 1:08pm
d