mutakhir

MBSJ roboh 20 struktur papan tanda haram [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Sebanyak 20 struktur pengiklanan haram dirobohkan Kementerian Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sepanjang rizab Jalan Persekutuan di kilometer 17.3 hingga 17.7.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, struktur berkenaan didirikan secara haram tanpa kelulusan dan tidak mengikut syarat teknikal yang ditetapkan.

"Tindakan itu diambil selaras dengan kuasa Menteri di bawah Seksyen 84 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan garis panduan Permohonan Paparan Iklan di dalam rizab Jalan Persekutuan atau Lebuh Raya tahun 2011.

"Tindakan membina struktur haram itu mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas operasi penguatkuasaan, hari ini.

Badrul Hisham berkata, kerajaan juga kehilangan hasil sewaan minimum yang dikenakan kepada syarikat pengusaha di mana kutipan fi sepatutnya dapat digunakan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan.

"Tindakan ini akan diambil secara berfasa dan akan diperluaskan di seluruh negara secara berperingkat.

"Operasi seperti ini akan diteruskan bagi memastikan tiada lagi paparan struktur haram di bina di rizab Jalan Persekutuan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan dan semakan dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Petaling, Gombak, Hulu Langat, Klang dan Sepang, pihaknya mendapati sebanyak 350 struktur pengiklanan haram dibina.

"Penguatkuasaan secara berterusan ini perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 1:51pm
d