mutakhir

Abang ipar hilang sejak semalam

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pendang: "Saya tak sedap hati apabila ibu maklumkan penemuan motosikal ditunggang abang ipar di tepi Sungai Paya Palas ditular di Facebook (FB).

"Pagi tadi, kami dimaklumkan yang jasadnya ditemui terapung di sungai berkenaan," kata Mohamad Faizal Mohd Jamel, 33.

Jasad Mohd Khairil Saad, 33, ditemui terapung di sungai berkenaan jam 10.35 pagi tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang.

Terdahulu, Mohamad Faizal yang tinggal di Kampung Paya Kerchut di sini berkata, Mohd Khairil meminjam motosikalnya jam 8 pagi semalam untuk kedai.

"Saya izinkan kerana dia kelihatan biasa saja. Saya tunggu sehingga jam 2 petang namun dia tidak pulang.

"Ibu kemudiannya menghubungi saya dan memaklumkan yang orang kampung mewar-warkan di Facebook berkaitan penemuan motosikal saya selain kasut di titi sungai itu.

"Bagaimanapun, abang ipar tiada di lokasi itu. Saya kemudiannya memaklumkan kejadian kepada polis," katanya dihubungi.

Menurut Mohamad Faizal, sebelum kejadian, abang iparnya yang masih bujang itu ada mengadu terdengar bisikan halus yang mengganggunya sejak beberapa hari lalu.

Katanya, dia meminta abang iparnya beristighfar dan berdoa supaya gangguan itu hilang namun abang iparnya masih kelihatan gelisah.

"Kami reda dengan kejadian ini," katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Kerchut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, jasad mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

"Kami terima panggilan kecemasan jam 9.45 pagi hari ini dan anggota dari BBP Pendang diketuai Ketua BBP Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Ezzat Emran Ezzani tiba di lokasi jam 10.03 pagi.

"Operasi disertai lapan anggota PPDA dari BBP Sungai Petani, lima anggota balai serta dibantu 12 anggota polis.

"Maklumat awal diterima mendapati, mangsa dipercayai mengalami tekanan perasaan dan dipercayai terjatuh ke sungai berkenaan," katanya pada kenyataan.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 2:26pm
d