mutakhir

Young Syefura dikompaun RM1,000

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata, pihaknya mengesahkan wakil rakyat DAP itu bersalah selepas kertas siasatan diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Selangor minggu lalu.

Katanya, empat rakan yang bersama-sama wakil rakyat itu turut dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.

"Kes berkenaan dianggap selesai selepas kompaun dikeluarkan terhadap lima individu terbabit yang melanggar SOP PKPB," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Sebelum ini, media melaporkan, Young Syefura didapati melanggar SOP PKPB apabila gambar beliau bersama-sama empat rakannya ketika meraikan ulang tahun kelahiran wakil rakyat berkenaan di pantai Bagan Lalang, Sepang, yang dimuatnaik melalui akaun Instagram, tular.

Semua mereka didapati bersalah kerana tidak memakai pelitup muka dan gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Semalam, ketika hadir membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (Belanjawan 2021) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Young Syefura memaklumkan beliau didapati bersalah melanggar SOP PKPB.

Beliau dilaporkan berkata, akan menjelaskan bayaran kompaun dalam masa terdekat dan polis memaklumkan bahawa kes terhadapnya itu dianggap selesai.

Pada masa sama, beliau turut mengemukakan permohonan maaf kepada semua pihak termasuk rakyat Pahang kerana melanggar SOP PKPB, yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada DUN Pahang.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 3:52pm
d