mutakhir

Maidam sedia peruntukan baik pulih kediaman akibat banjir

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) menyediakan peruntukan membaikpulih kerosakan kediaman untuk mangsa banjir, terutama golongan asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Rozi Bidin berkata, mereka boleh mengemukakan permohonan menerusi dalam talian dan bantuan diberikan bergantung kepada penilaian kerosakan kediaman dialami mangsa.

"Maidam ada menyediakan peruntukan di bawah kategori bencana kepada golongan asnaf dan penduduk yang mengalami kerosakan kediaman akibat ditenggelami air," katanya.

M. Rozi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengagihan Silinder Komposit Gas Petroleum Cecair (LPG) di Kampung Beladau Kolam, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengurus Besar Maidam Property Sdn Bhd, Wan Farid Imran Wan A Latif dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amiiri Ngah.

Mengulas mengenai kutipan zakat, M Rozi mengakui berlaku kemerosotan kutipan sebanyak RM2 juta, terutama zakat perniagaan berikutan pandemik Covid-19.

"Sehingga semalam, hanya RM135 juta berjaya dikutip berbanding RM137 juta dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 6:13pm
d