mutakhir

Sungai Tebak masih di paras bahaya

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Hanya satu sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya berbanding tiga sungai pagi tadi.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga 7 malam, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman masih berada pada paras bahaya dengan bacaan 21.15 meter (m).

Walaupun berada di paras bahaya, paras air di sungai berkenaan menunjukkan penurunan berbanding bacaan yang direkodkan pagi tadi iaitu 21.79 m.

Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu yang sebelum ini melepasi paras bahaya dengan bacaan 21.67 m kini berada pada paras amaran apabila merekodkan bacaan 20.83 m.

Selain itu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu juga melepasi paras amaran dengan bacaan 12.60 m.

Sementara itu, dua lagi sungai iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu pula masing-masing berada pada tahap waspada dengan bacaan 8.05 m dan 18.37 m.

Keadaan cuaca yang baik hari ini turut menyebabkan paras air di sungai berkenaan menurun.

Jabatan Pengairan dan Saliran turut mengeluarkan amaran banjir lembangan Sungai Terengganu yang bermula pada 6 petang ini di Sungai Tersat, Hulu Terengganu.

Antara lokasi yang dijangka dinaiki air adalah Kilometer 11 Jalan Sekayu, Kampung Lubuk Paih, Kampung Pelandan, Kampung Cheting dan kawasan berhampiran.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 8:37pm
d