mutakhir

Penduduk mula berjaga-jaga [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Penduduk di beberapa kampung di sepanjang Sungai Golok di sini, mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan barangan serta peralatan ke tempat selamat bagi mengelakkan dihanyut air.

Ia berikutan kejadian air pasang besar yang melanda kawasan pantai di daerah ini sejak malam kelmarin turut memasuki perairan Sungai Golok dan menjejaskan beberapa kampung sekitar.

Seorang penduduk dari Kampung Derdap, Ariffin Awang Chik, 60 berkata, berbanding malam kelmarin, fenomena air pasang yang berlaku malam tadi agak membimbangkan.

"Air pasang mula berlaku kira-kira jam 9 malam dan ia naik agak laju sehingga masuk ke bahagian dapur rumah mencecah 0.1 meter.

"Saya dan ahli keluarga segera mengalihkan beberapa peralatan seperti generator, mesin potong rumput, mesin basuh dan beberapa barangan lain ke ruang tamu bagi mengelakkan ia rosak kerana air sungai yang bercampur dengan air masin (laut) boleh merosakkan enjin," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Selain Kampung Derdap, antara lokasi lain yang turut terjejas akibat air pasang besar ialah Kampung Naga Ibu, Pohon Nibong, Kuala Jambu dan Simpangan.

Fenomena yang berlaku selama dua jam itu turut menenggelamkan sebahagian laluan Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) yang menyebabkan ia tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Seorang lagi penduduk di Kampung Naga Ibu, Nariza Arifin, 43, berkata, fenomena air pasang biasa berlaku menjelang musim tengkujuh iaitu selama tiga hingga empat hari pada waktu malam.

Tambahan pula, rumahnya hanya terletak kira-kira 10 meter sahaja dari Sungai Golok.

"Kami jangkakan malam ini masih berlaku air pasang dan kemungkinan agak besar berbanding dua malam yang sebelumnya.

"Kami sentiasa berjaga-jaga dengan mengemas segala peralatan yang disimpan di tempat lebih tinggi manakala kenderaan pula sudah diparkir di jalan utama," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 8:41pm
d