mutakhir

Dituduh tipu minit mesyuarat [METROTV]

Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Bekas Pengarah Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu minit mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dan Perniagaan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Hafizawati Ahmad, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Hafizawati didakwa semasa bertugas sebagai Pengarah di Jabatan Pelesenan MPHTJ tidak jujur menggunakan minit mesyuarat yang diketahui adalah palsu iaitu Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dan Perniagaan bertempat di Bilik Mesyuarat Hang Tuah pada 10 April 2017, jam 2.30 petang.

Minit mesyuarat itu bagi mendorong pihaknya mengeluarkan sejumlah wang bernilai lebih RM13,000 sebagai tuntutan pembelian kemeja-t dan apron.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Pejabat SPRM sebulan sekali dan meminta tertuduh tidak berhubung dengan mana-mana saksi perbicaraan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bersetuju dengan jaminan yang dicadangkan.

Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti yang dipohon Irwan Shah.

Mahkamah menetapkan tarikh 24 Disember depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 12:27pm
d