mutakhir

Kuala Krai dipilih Bandar Paling Bersih 2020 [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Bandar Kuala Krai dinobatkan sebagai bandar paling bersih di Kelantan bagi kategori pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tahun 2020.

Kemenangan itu melayakkan Majlis Daerah Kuala Krai membawa pulang wang tunai RM25,000 yang disampaikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Perkara itu diumumkan pada majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih di Dataran Stadium Sultan Muhammad V di sini, hari ini.

Pada majlis itu, kerajaan negeri Kelantan menyerahkan 13 lori kompaktor dan empat lori kepada 12 PBT di seluruh negeri.

Ahmad berkata, peningkatan peruntukan saban tahun dan penyerahan 13 lori kompaktor dan empat lori kepada setiap PBT pada hari ini yang jumlah keseluruhan RM5 juta, menunjukkan komitmen kerajaan bagi menjadikan Kelantan negeri bersih, indah dan ceria.

"Usaha mewujudkan tahap kebersihan persekitaran berkualiti melalui pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan tidak akan mencapai matlamat tanpa perubahan terhadap kesedaran dan sikap semua pihak mengenai kepentingan memelihara alam sekitar dan menjaga kebersihan.

"Tiga faktor utama diperlukan dalam menjayakan agenda Kelantanku Bersih iaitu peranan pihak berkepentingan, penguatkuasaan dan kesedaran rakyat.

"Setiap rakyat perlu memiliki kesedaran mengenai pentingnya memelihara kebersihan dan turut mengambil inisiatif membantu pihak berkuasa dalam memastikan persekitaran kawasan tempat tinggal mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 2:36pm
d