mutakhir

Polis Thailand mohon periksa kelongsong peluru

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis Thailand memohon melakukan pemeriksaan ke atas dua kelongsong peluru yang ditemui dalam kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, ketika ini dua kelongsong berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses penilaian dan siasatan lanjut.

Katanya, pihak berkuasa negara jiran terbabit membuat permohonan itu bagi membantu siasatan yang turut dilakukan mereka.

"Perkara ini masih dalam siasatan pihak forensik dan kita perlu menunggu laporan lengkap.

"Kita sudah melakukan pertemuan bersama polis Thailand baru-baru ini dan berbincang mengenai kejadian ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, pihaknya tidak menolak berkemungkinan tembakan itu dilepaskan kerana penyeludup berang tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan di sempadan sehingga menyukarkan kegiatan mereka.

"Kawalan di kawasan sempadan negara sama ada di darat atau laut akan diperketat lagi dengan kerjasama pelbagai agensi dalam mengekang kegiatan penyeludupan.

"Penduduk yang tinggal di kawasan sempadan dinasihat tidak bersekongkol dengan penyeludup dari negara jiran kerana sekiranya ditangkap, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka," katanya.

Polis Kedah sebelum ini, mengesahkan berlaku kejadian tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan pada jam 6.30 pagi.

Ketika itu anggota terbabit terserempak seorang lelaki berdiri berdekatan pagar keselamatan di dalam sempadan Thailand sebelum mendengar dan ternampak percikan api sebelum lelaki itu melarikan diri dengan menaiki kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 2:48pm
d