mutakhir

Terpaksa jual ikan murah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Seramai 20 penternak ikan dalam sangkar di Laguna Sri Tujoh, di sini, bakal berdepan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit seorang selepas banyak ikan mati akibat kualiti air kotor.

Kejadian itu disebabkan pelepasan air menerusi pintu air ketika proses pembersihan sungai termasuk membuang pokok keladi yang memenuhi permukaan sungai sehingga menyebabkan keladak serta sisa tumbuhan dialirkan masuk ke kawasan ternakan.

Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Sri Tujoh, Mohd Saifullah Che Mat berkata, keadaan semakin buruk apabila bercampur dengan air hujan sejak beberapa hari kebelakangan menyebabkan aliran air dilepaskan menjadi deras dan menjejaskan ikan diternak dalam sangkar.

"Pagi ini kami dapati banyak ikan siakap dan tilapia milik seorang penternak mati dan malam ini kami beramai-ramai membantunya memungut ikan itu.

"Kira-kira empat tan ikan siakap dan tilapia miliknya mati dan ia bukan satu angka kecil. Bagi mengelakkan ia menjadi lebih rugi, ikan ini terpaksa dijual dengan harga jauh lebih murah daripada harga pasaran," katanya ketika ditemui di pusat pengumpulan hasil nelayan Jubakar Pantai di sini, malam tadi.

Mohd Saifullah berkata, terdapat 92 penternak ikan dalam sangkar di kawasan itu dan lazimnya kejadian ikan ternakan mati dialami setiap tahun kerana musim tengkujuh, namun kali ini disebabkan faktor berbeza dan menyebabkan kerugian lebih besar.

Dia menjangkakan kerugian lebih besar dialami jika langkah segera tidak dilakukan pihak berwajib yang sepatutnya melepaskan air secara berjadual dan memaklumkan kepada penternak agar mereka dapat membuat persediaan lebih awal.

"Bukan sahaja ikan sudah cukup umur, anak ikan banyak mati dan kami sedang menjalankan proses pengumpulan untuk dibuang.

"Kami sangat berharap agar pihak berwajib dapat menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera kerana ia membabitkan kerugian cukup besar untuk ditanggung," katanya.

Seorang penternak ikan dalam sangkar, Fam Kai Loon, 25, berdepan kerugian mencecah RM60,000 membabitkan ikan jenis siakap dan tilapia.

Dia yang menternak sejak tiga tahun lalu berasa agak kecewa kerana selain menanggung kerugian luar biasa, ikan itu diternak sejak hampir setahun dan sepatutnya sudah boleh dijual, tetapi malangnya kejadian itu pula berlaku.

"Bagi mengelakkan kerugian besar, saya terpaksa menjual ikan mati ini dengan harga jauh lebih murah iaitu RM10 sekilogram dan empat tan dikumpulkan malam ini (malam tadi) akan dibawa kepada pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong.

"Saya cuba memasang enjin bagi membekalkan tambahan oksigen kepada ikan, namun sia-sia kerana banyak keladak daripada pokok keladi dibawa arus masuk ke kawasan sangkar selain air kotor menyebabkan ikan mati," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 4:39pm
d