mutakhir

Tempahan bot bertambah menjelang musim tengkujuh

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Pembuat bot gentian kaca di Kampung Pasir Tumbuh, dekat sini, menerima banyak tempahan daripada penduduk untuk persiapan menghadapi banjir pada musim tengkujuh.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan rendah di tepi Sungai Galas, Nenggiri dan Lebir Hulu Kelantan menempah bot bagi mengelakkan detik cemas setiap kali berlaku banjir.

Pembuat bot, Ab Malik Seman, 47, berkata dia memulakan usaha membuat bot itu sejak empat bulan lalu dengan bantuan Jabatan Perikanan di bawah program My Komuniti Perikanan (MyKP).

Dia berkata, apabila mempunyai kemahiran dalam bidang itu, dia bukan sahaja untuk menerima tempahan, malah melatih belia tempatan kerana ia bengkel seumpamanya di daerah ini.

"Proses pembuatan bot gentian kaca ini tidak rumit seperti bot kayu, malah ia lebih tahan lama serta mudah diselenggara apabila mengalami kebocoran.

"Setakat ini, saya sudah menyiapkan lima bot gentian kaca dan masih banyak lagi ditempah dalam proses disiapkan," katanya ketika ditemui di bengkelnya, hari ini.

Ab Malik berkata, bot paling banyak ditempah adalah sepanjang 7 meter dengan harga RM2,350 dan boleh disiapkan dalam masa seminggu.

Menurutnya, bot gentian kaca itu digunakan penduduk untuk memudahkan mereka berpindah apabila menghadapi banjir.

"Apabila tamat musim tengkujuh, mereka gunakan pula bot itu untuk menangkap ikan sebagai nelayan sungai.

"Kebanyakan penduduk di kawasan rendah mengambil inisiatif menyimpan bot itu di setiap rumah bagi memudahkan mereka berpindah jika berlaku banjir," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 5:01pm
d