mutakhir

Dakwaan 200,000 warga asing lolos tidak benar - JIM

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan berhubung 200,000 warga asing lolos yang diterbitkan sebuah akhbar tempatan, semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, laporan berita berkenaan menerbitkan angka-angka daripada sumber yang tidak pasti.

"Kami ingin menegaskan bahawa jumlah warga asing yang didakwa dalam laporan itu adalah tidak benar serta tidak dipastikan kesahihannya.

"Laporan berita ini juga boleh memberikan persepsi yang salah dalam usaha-usaha agensi penguatkuasaan menjalankan tugas membanteras kegiatan sindiket pendatang asing tanpa izin (Pati)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, JIM sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan di seluruh negara secara berterusan bagi menangani masalah Pati.

"Bagi tahun ini iaitu dari 1 Januari lalu sehingga semalam, sebanyak 6,300 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara dengan 90,282 individu diperiksa.

"Daripada jumlah itu, seramai 34,529 Pati ditahan. Selain itu, seramai 376 majikan turut ditahan sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan usaha membanteras kegiatan sindiket berkaitan Pati termasuk kerja perisikan, operasi penguatkuasaan dan perkongsian maklumat bersama agensi lain.

"Dalam hal ini, JIM bekerjasama rapat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha melumpuhkan sindiket membabitkan agen-agen Pati dan pegawai imigresen sendiri.

"Kami tidak akan berkompromi ke atas apa jua bentuk kegiatan yang melanggar undang-undang dan akan memastikan usaha membanteras sindiket Pati dan aktiviti tidak berintegriti sentiasa dilaksanakan," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 5:47pm
d