mutakhir

Polis rampas 96.39kg dadah bernilai RM4.8 juta [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Polis merampas 96.39 kilogram dadah bernilai RM4.8 juta selepas menumpaskan sindiket penyeludupan dadah didalangi warga tempatan pada lima serbuan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, pada serbuan serentak yang dijalankan tiga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) itu, enam individu berusia 34 hingga 56 tahun ditahan, termasuk seorang wanita warga Thailand.

Katanya, serbuan bermula jam 11.40 pagi hingga jam 2 petang dan turut ditahan adalah dalang sindiket terbabit iaitu lelaki tempatan berusia 30-an.

"Dadah dirampas membabitkan 76 kilogram (kg) syabu, 5.8kg ekstasi, 1.1kg ketamin, 450 gram heroin dan 13kg Eramin 5.

"Kami turut menyita enam kenderaan pelbagai jenis, wang tunai, barangan kemas serta dua jam tangan.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM5.6 juta," katanya pada sidang media di IPK Selangor hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, sindiket aktif sejak awal tahun ini dan dadah terbabit turut dipasarkan ke Sabah serta Sarawak.

Katanya, sindiket dipercayai menyeludup dadah dengan menggunakan perkhidmatan kurier ataupun kargo.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek positif syabu.

"Dua suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Razarudin berkata, kesemua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 5:53pm
d