mutakhir

Banjir kilat landa JB

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seramai 13 penduduk di Jalan Permatang Utama, Kempas, di sini, terpaksa dipindahkan susulan banjir kilat yang menenggelamkan rumah mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.16 petang tadi, banjir sedalam hampir 1 meter itu terjadi selepas hujan lebat berlaku hampir dua jam di kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Saiful Bahri Safar berkata, sebuah jentera bersama lima anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan penduduk.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati air banjir menenggelamkan 30 rumah penduduk di Jalan Permatang hingga Jalan Permatang 3 di sini.

"Seramai 13 mangsa membabitkan 11 kanak-kanak serta dua wanita dewasa terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Jalan Permatang.

"Bagaimanapun banjir mulai surut selepas hujan reda dan mangsa sudah kembali pulang semula ke rumah masing-masing, " katanya.

Mengulas lanjut, Saiful Bahri meminta penduduk di kawasan rendah sentiasa berwaspada berikutan musim hujan lebat sudah mula melanda negeri ini.

"Berpindah segera ke kawasan selamat dan hubungi pihak berkuasa jika air banjir tiba-tiba naik ketika hujan lebat melanda di kawasan rumah mereka, " katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 8:23pm
d