mutakhir

3 PPS dibuka di Jasin, Alor Gajah

Oleh Amir Mamat

Jasin: Hujan lebat berterusan hampir lima jam sejak petang semalam menyebabkan 93 penduduk di daerah Jasin serta Alor Gajah terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tedong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di Jasin serta SK Durian Tunggal di Alor Gajah yang menempatkan 25 keluarga.

Jasin adalah daerah paling teruk terjejas susulan hujan lebat bermula 5 petang hingga 10 malam.

Pegawai Daerah Jasin, Datuk Anis Ali Hassan berkata, keadaan itu menyebabkan tujuh kawasan di sekitar Merlimau dan Serkam, dinaiki air.

Katanya, enam kawasan di Merlimau iaitu Taman Merlimau Mekar, Taman Merlimau Megah, Kampung Kilang Berapi, hadapan SMK Datuk Rahman Yaakub (SDARY), Kampung Paya Lengkong dan Kampung Seri Mendapat ditenggelami air lebih 0.5 meter, manakala di Serkam pula membabitkan Kampung Tedong Pekan.

"Hujan lebat sejak petang semalam, ditambah dengan fenomena air laut pasang besar menyebabkan banjir di kawasan berkenaan.

"Kebanyakan kediaman mangsa ditenggelami air lebih 0.7 meter dan saya jangka ia akan mengambil masa lama untuk surut.

"Bagaimanapun, berdasarkan keadaan cuaca serta air pasang besar yang dijangka berlaku semula pagi esok (hari ini), jumlah mangsa akan bertambah," katanya selepas meninjau PPS di SMK Dang Anum, Merlimau, di sini, malam tadi.

Anis berkata, pihaknya akan menggunakan keseluruhan kemudahan di PPS yang dibuka, termasuk kelas jika berlaku pertambahan mangsa banjir.

Sementara itu, beberapa agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat turut berulang-alik membawa mangsa ke pusat pemindahan terutama mereka yang uzur, khususnya warga emas dan pesakit kronik.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 11:00am
d