mutakhir

6,200 bakal alami gangguan air

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Penduduk di sebahagian kawasan Jalan Kampung Relau hingga Jalan Sungai Dua, di sini, akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 12 jam pada 28 November ini.

Gangguan terbabit berikutan bagi memberi laluan kepada kerja penyambungan paip sesalur utama sepanjang 600 milimeter (mm) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di Lintang Nipah.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata, gangguan itu membabitkan seramai 6,200 pemegang akaun di kawasan berkenaan.

Kerja terbabit bermula jam 9 malam pada Sabtu hingga 9 pagi hari berikutnya (28 November).

"PBAPP perlu mengasingkan dan menutup sebahagian saluran paip 450mm sedia ada bagi memudahkan kerja terbabit.

"Sebanyak 26 lokasi yang terjejas sepanjang kerja itu dijalankan dan pengguna disarankan supaya menyimpan air secukupnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Kampung Relau, Persiaran Nipah, Terminal Bas Sungai Nibong, Klinik Kesihatan Sungai Dua, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Taman Pekaka.

Juga terkesan ialah Jalan Murai, Jalan Helang, Persiaran Sungai Dua, Kuarters JKR Batu Uban, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu Uban dan Jalan Merak.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 12:44pm
d