mutakhir

Dijel 2 tahun ugut adik dengan pisau [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian

Kuala Kangsar: Peniaga dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan ugutan bunuh terhadap adiknya dengan mengacukan sebilah pisau lipat, Isnin lalu.

Tertuduh, Wan Mohd Hanif Wan Nik Azhar, 25, yang masih bujang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengacukan sebilah pisau terhadap adiknya, Wan Hazman Haikal di sebuah rumah tidak beralamat di Kampung Pulau, Padang Rengas, di sini, kira-kira jam 3 petang, 16 November lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hanida Abdul Kadir dengan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Heninie Suraya Hanafi.

Rohaida menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 17 November.

Ketika mengenai punca tertuduh melakukan jenayah itu terhadap adiknya, Siti Hanida memberitahu mahkamah tertuduh berbuat demikian kerana mahu menggertak adiknya supaya memberikan wang bagi membeli rokok.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran warga asing, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Baysaruddin Hassan, 42, didakwa menyeludup seorang lelaki warga India, Jaswinder Singh di Kaunter Kawalan Pemeriksaan Keluar KK1, Kompleks Imigresen Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada 3.40 petang, 20 Mei tahun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Imigresen Malaysia, Siti Rovinna Mohd Rawi dengan tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Rovinna bagaimanapun memohon keizinan izin mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi untuk dibacakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim membenarkan permohonan itu dan menetapkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Taiping tanpa menetapkan sebarang tarikh.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 1:06pm
d