mutakhir

JKM diluluskan bantuan pesakit terlantar

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang mengesahkan permohonan Aidah Mornee, 55, sudah diluluskan untuk menerima bantuan pesakit terlantar sebanyak RM350 sebulan bermula Disember ini.

Sebelum itu, pihak JKM juga sudah menyerahkan Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 selain lampin pakai buang kepada wanita ibu tunggal berkenaan.

Pegawai Pembangunan Masyarakat Kluang, P Thanaselan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati Aidah menghidap sakit kencing manis, paru-paru berair, semput dan masalah jantung.

Katanya, wanita berkenaan sukar untuk berjalan sendiri kerana terlalu banyak kandungan air dalam badan dan memerlukan sokongan serta bantuan dari anak perempuannya.

"Sebelum ini Aidah ditahan di wad untuk menyedut air keluar dari dalam badannya, namun sejak Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom dijadikan sebagai pusat rawatan Covid-19 di Johor, pihak hospital membekalkan pil untuk mengeluarkan air dari badannya menyebabkannya terpaksa memakai lampin pakai buang sepanjang masa.

"Anak perempuannya pula berhenti kerja untuk menguruskan ibunya sejak bulan Mac lalu manakala makan minum mereka sekeluarga bergantung kepada sumbangan ahli keluarga terdekat selain sumbangan daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Menurut Thanaselan, pihaknya cakna dengan kesulitan yang dihadapi oleh Aidah dan bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga ini JKM meluluskan segera semua bantuan yang dimohon.

"Selain itu, Aidah turut menerima katil boleh laras menggantikan katil lamanya yang sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi," katanya.

Semalam, Portal Harian Metro melaporkan Siti Nur Amirah Hassan, 28, terpaksa berhenti kerja untuk memberikan perhatian penuh kepada ibunya yang menghidap pelbagai penyakit kronik sehingga menyebabkan mereka kehilangan punca pendapatan.

Untuk menyara kehidupan mereka berdua, anaknya hanya bekerja menghantar makanan yang diusahakan rakannya selain kerja sambilan sebagai pekerja katering sebagai sumber pendapatan.

Berita berkaitan

Demimu ibu, ku korban segalanya!

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 1:18pm
d