mutakhir

Rumah ditenggelami air, 3 keluarga dipindahkan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seramai 16 mangsa banjir dari Jalan Haji Ehsan, Kampung Parit Mahang, di sini, dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang susulan kediaman mereka dinaiki air sejak petang semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, dua pegawai dan 11 anggota digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa banjir keluar dari kediaman masing-masing.

Menurutnya, 16 mangsa itu terdiri daripada tiga keluarga termasuklah warga emas dan kanak-kanak dipindahkan ke PPS berkenaan.

"Turut dipindahkan, seorang lelaki yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) dan seorang bayi lelaki," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya situasi banjir di Kampung Seri Sentosa dan Kampung Sri Aman, Ijok, di sini, Shaiful Azril berkata, seramai 23 mangsa masih lagi ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, sejak 18 November lalu.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 1:55pm
d