mutakhir

Kerajaan Pahang tagih janji royalti minyak RM100 juta

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan negeri Pahang sudah mengambil langkah susulan termasuk bertemu dan menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung royalti minyak atau wang ehsan berjumlah RM100 juta.

Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau mengambil tindakan susulan untuk memastikan Kerajaan Pusat menunaikan janji memberikan RM100 juta kepada kerajaan negeri sebelum ini.

"Saya sudah membuat kerja susulan antaranya berjumpa dan menulis surat kepada Perdana Menteri.

"Oleh itu, sama-samalah kita mendoakan agar natijah yang terbaik dapat diperoleh daripada usaha ini," katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut mengambil perhatian terhadap gesaan pengwujudan semula Lembaga Kemajuan Wilayah Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) yang dibubarkan pada 1997 atas arahan Kerajaan Pusat.

"Sukacita saya katakan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2 November lalu sudah melantik sebuah syarikat, IIUM Entrepreneurship and Consultancies Sdn Bhd sebagai perunding bagi menjalankan kajian penubuhan semula DARA dan LKWJ.

"Pihak perunding memaklumkan, kajian akan mengambil masa enam bulan dan dijangka siap pada Mei 2021. Hasil kajian akan dibincang semula dengan pihak KPLB dan kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri akan meneliti kajian ini dan membuat keputusan terbaik demi pembangunan dan kemaslahatan penduduk di kawasan tinggalan DARA dan LKWJ," katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 3:52pm
d