mutakhir

Isteri, ibu jadi anggota sindiket dadah [METROTV]

Oleh Audrey Dermawan

Georgetown: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah, susulan penahanan enam individu termasuk lelaki yang menjadi dalang utama, isteri dan ibunya.

Mereka ditahan dalam empat serbuan berasingan bermula 4.30 pagi semalam, yang turut memberkas tiga nelayan dan peniaga buah-buahan berusia antara 28 hingga 59 tahun. Turut dirampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.14 juta.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, rampasan dadah termasuk syabu, ketamin dan heroin itu adalah yang terbesar pada tahun ini.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand menerusi Sintok, Kedah.

"Dari sana, ia dibawa ke Pulau Pinang melalui pengangkutan darat.

"Kita percaya dadah itu sedia untuk diedarkan kepada pelanggan memandangkan, dalang utama berusia 35 tahun ditahan di dalam kereta dekat Sungai Nibong dan bersamanya ada dua kilogram syabu.

"Polis masih menyiasat sama ada sindiket ini ada kaitan dengan sindiket pengedaran yang ditumpaskan beberapa minggu lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.

Sahabudin berkata, pihaknya kemudian menyerbu stor sebuah rumah di Sungai Nibong dan rumah teres di Bayan Lepas serta menahan dua lelaki bersama dadah.

"Berpandukan maklumat dalang sindiket, polis ke rumah sewanya di Balik Pulau dan menemukan sejumlah dadah. Kita menahan isteri lelaki itu yang juga warganegara Thailand berusia 28 tahun dan ibunya berusia 59 tahun," katanya.

Difahamkan, dua wanita itu adalah anggota sindiket yang mana mereka akan membungkus semula dadah berkenaan sebelum dijual.

Pasangan itu juga mempunyai tiga anak yang kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya, secara keseluruhan rampasan membabitkan 133.3 kg syabu bernilai RM5.97 juta; 20.7kg ketamin dianggarkan RM1.13 juta dan 11.1kg heroin bernilai RM1.03 juta.

Katanya, tiga kenderaan disita iaitu kenderaan utiliti sukan jenis Ford Everest, Proton Perdana dan motosikal bernilai keseluruhan RM36,300 selain wang tunai RM2,100.

"Siasatan mendapati, sindiket ini aktif sejak awal tahun dan dadah berkenaan boleh menjadi bekalan 1.02 juta pengguna. Selain itu dua daripada empat lelaki ditahan memiliki rekod jenayah lampau dan kesalahan dadah," katanya yang turut memberitahu ujian saringan tiga suspek lelaki mendapati positif methamphetamine.

Menurutnya, semua suspek kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Untuk rekod, minggu lalu, polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja susulan penahanan 12 individu dan merampas dadah bernilai RM2.16 juta.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 4:48pm
d