mutakhir

98 tan makanan untuk mangsa banjir

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Sebanyak 98 tan bekalan makanan dihantar ke 118 pangkalan hadapan bermula 28 Oktober di Pulau Tioman dan terakhir di Bera pada 16 November lalu, sebagai persediaan menghadapi banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bekalan itu dijangka mencukupi untuk 153,020 mangsa banjir di 647 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri.

"Saya gembira kerana segala persiapan sudah dilakukan jika berlaku banjir.

"Oleh itu, segala prosedur operasi standard (SOP) berkaitan usaha membendung penularan wabak pandemik Covid-19 akan dipatuhi.

"Saya amat berharap semua pihak akur kepada SOP ini agar jangan nanti apabila berlakunya banjir dan pemindahan mangsa ke PPS, Covid-19 semakin menjadi-jadi," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penangguhan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan sedikit lebihan taburan hujan bermula bulan depan daripada purata yang diterima pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, lebihan taburan itu membabitkan tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin, sekali gus risiko berlaku banjir sememangnya ada terutama di kawasan rendah dan biasa terkena banjir.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 6:33pm
d