mutakhir

Kereta terkunci, bayi terperangkap 30 minit

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Wanita berdepan detik cemas apabila anak lelakinya berusia 16 bulan terperangkap hampir 30 minit dalam kereta selepas kenderaan itu terkunci di Taman Widuri, Sungai Jawi di sini, petang hari ini.

Bagaimanapun, bayi berkenaan berjaya diselamatkan selepas anggota bomba memecah cermin kenderaan terbabit selepas dipanggil untuk bantuan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 4.58 petang.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal ke lokasi untuk operasi menyelamat mangsa.

"Kami terpaksa memecahkan cermin kerana bayi berkenaan sudah terperangkap dalam kenderaan itu hampir 30 minit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dialami mangsa dalam insiden itu.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 7:15pm
d