mutakhir

Pergerakan keluar masuk penduduk punca kes meningkat di Kelantan [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Penempatan warga asing dan juga banyak berlaku pergerakan penduduk keluar masuk menyebabkan penularan Covid-19 meningkat di Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada mulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dilaksanakan Kelantan tetapi mengambil kira penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyebabkan terdapat keperluan untuk PKPB dilaksanakan di negeri itu.

"Pada 3 November lalu, Kelantan hanya mencatatkan lapan kes Covid-19 membabitkan hanya di tiga daerah sahaja.

"Bagaimanapun, pada 19 November bilangan kes aktif Covid-19 di Kelantan meningkat kepada 73 kes dan menular ke lapan daripada 10 daerah.

"Selain itu, terdapat tujuh kluster aktif iaitu Kluster Ikhtisas, Cergas, Kube, Kaya, Mengketil, Simera dan Jalan Meru yang masih dipantau di Kelantan," katanya.

Menurutnya, Kluster Mengketil mencatatkan pertambahan kes yang mendadak dengan peningkatan 41 kes dalam masa lima hari.

"Kes dalam kluster ini mula dikesan di Machang tetapi kini menular ke Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai malah menular ke Besut, Terengganu.

"Kluster ini menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi dan terdapat risiko penularan yang tidak terkawal sekiranya PKPB tidak dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, penilaian risiko juga dijalankan di negeri lain untuk menentukan sama ada PKPB boleh ditamatkan atau perlu diteruskan.

"Walaupun PKPB ditamatkan di beberapa negeri terdapat keperluan melanjutkan tempoh PKPB di sesetengah daerah kerana penilaian risiko menunjukkan risiko jangkitan yang masih tinggi di daerah berkenaan.

"Sebelum KKM mengesyorkan sesuatu kawasan dilaksanakan PKPB, penilaian risiko dilakukan dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya kadar peningkatan kes dalam tempoh masa singkat, taburan kes positif dalam mukim dan daerah.

"Selain itu, kepadatan penduduk setempat yang tinggi dengan bilangan kawasan perumahan, pangsapuri atau rumah setinggan yang tinggi serta kewujudan tempat tumpuan awam seperti pasar borong, kilang, pejabat kerajaan, kompleks perniagaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 7:58pm
    d