mutakhir

2 lelaki pecah kedai, 1 pembeli barang curi ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Dua lelaki dipercayai terbabit dengan kejadian pecah kedai di Ara Damansara di sini, pada Selasa lalu ditahan bersama seorang pembeli barangan curi berkenaan dalam serbuan berasingan di daerah ini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pecah kedai di lokasi berkenaan yang berlaku pada 7 pagi.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai terbabit mendapati terdapat dua lelaki memecah masuk melalui tingkap dan membawa keluar beberapa barangan di dalam premis berkenaan.

"Susulan itu, kami membuat serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Putra Damai dan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun pada 11.10 pagi semalam.

"Kami turut menahan seorang lagi lelaki yang juga rakan suspek berusia 34 tahun di blok berlainan pangsapuri terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ku Mashariman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku memecah masuk ke dalam kedai terbabit dan menjual barang yang diambil sebelum dijual kepada sebuah kedai runcit di Desa Mentari, di sini.

"Berpandukan maklumat suspek kedua, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun di sebuah kedai runcit di Desa Mentari yang dipercayai membeli barang hasil curi oleh suspek.

"Dalam tangkapan ini, kami merampas 17 bungkus gula pasir halus dengan setiap satunya seberat satu kilogram serta 25 botol minyak masak pelbagai jenama serta berat yang dipercayai dibeli daripada dua suspek berkenaan," katanya.

Katanya, suspek pertama dan kedua direman selama lima hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, manakala suspek ketiga dibebaskan dengan jaminan polis.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 9:53pm
d