mutakhir

TUDM bawa tiga bayi sakit jantung

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggerakkan asetnya, pesawat pengangkut A400M bagi melaksanakan penerbangan ihsan membawa tiga bayi yang mengalami masalah jantung dari Kuching ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Gleneagles, hari ini.

Seorang daripada bayi terbabit, Eliora Mia Nawan yang baru berusia 20 hari mengalami masalah jantung 'Transposition Of Great Arteries' akan dirawat di Hospital Gleneagles, Ampang.

Dua lagi bayi yang menaiki penerbangan sama, Marry Anne Methew Mavrick berusia 19 hari menghadapi masalah jantung 'Congenital Heart Block' dan Abang Muhammad AlFatih Abang Mohammad berusia dua bulan mengalami masalah jantung 'Congenital Heart Disease' akan menjalani rawatan di IJN.

Jurucakap TUDM dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua bayi berkenaan sebelum ini menerima rawatan daripada Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurutnya, penerbangan ihsan itu dilaksanakan dengan pesawat pengangkut dari No 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang yang diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin TUDM dengan pembantu juruterbang, Kapten Wan Abdullah Wan Hanapi.

Mereka dibantu dua 'Loadmaster' iaitu Pegawai Waran 2 (PW2) Amran Rashid @ Jaafar dan Sarjan Mohd Naim Kamijan serta dua 'Supplementary Crew' Koperal Mohamad Azim Jamal dan Koperal Harun Mustafa.

Pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada 7.07 malam dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada 8.43 malam ini.

Selain ibu masing-masing, tiga bayi terbabit diiringi dua pegawai perubatan serta dua jururawat.

Penerbangan ihsan itu dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan dengan segera dan tertakluk kepada keadaan tertentu terutama nasihat dari pegawai perubatan.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 10:28pm
d