mutakhir

Langgar motosikal lepas terbabas lalu lopak air

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Subang Jaya: Lelaki cedera selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta yang hilang kawalan dipercayai terlanggar lopak air di Kilometer 39.3 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran Plaza Tol Sunway di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, kejadian pada 5 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta BMW yang dipandu laju oleh seorang lelaki berusia 28 tahun di lorong kanan hilang kawalan selepas melanggar lopak air.

"Kejadian itu menyebabkan kereta berkenaan terbabas dari lorong kanan hingga ke lorong kiri lebuh raya lalu melanggar motosikal Yamaha LC ditunggang lelaki berusia 27 tahun yang berada di lorong kiri," katanya dalam kenyataan.

Azman berkata, penunggang motosikal itu kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.

"Penunggang terbabit dilaporkan mengalami kecederaan di buku lali dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Pemandu kereta BMW berkenaan pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan kereta BMW berkenaan rosak di bahagian hadapan.

"Difahamkan, penunggang motosikal terbabit masih belum membuat laporan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nasser Peping di talian 012-2863875," katanya.

Terdahulu satu rakaman video papan pemuka dari sebuah kenderaan berdurasi 12 saat menunjukkan sebuah kereta yang berada di lorong kanan terbabas hingga ke lorong kiri sebelum melanggar sebuah motosikal di Lebuhraya KESAS tular di media sosial, semalam.

⁃ ends

Keterangan gambar:

1. RAKAMAN video papan pemuka dari sebuah kenderaan yang berdurasi 12 saat menunjukkan sebuah kereta yang berada di lorong kanan terbabas hingga ke lorong kiri sebelum melanggar sebuah motosikal di Lebuhraya KESAS tular di media sosial, hari ini.

From: No'Rule

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 12:04am
d