mutakhir

Remaja korban terbaru rabies di Sarawak

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Remaja perempuan berusia 16 tahun maut akibat wabak rabies di Sarawak, 11 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, kes itu menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di negeri itu meningkat kepada enam kes pada tahun ini dan kes-28 sejak wabak berkenaan diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

"Remaja itu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 10 November lalu kerana mengalami demam selama tiga hari, lemah pada bahagian anggota bawah badan dan menunjukkan tingkah laku agresif.

"Remaja itu turut mengalami aerofobia dan hidrofobia. Kes ini meninggal dunia pada 11 November pada jam 3.45 petang dengan diagnosa rabies encephalitis.

"KKM ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, remaja berkenaan disahkan dijangkiti virus rabies pada 12 November lalu selepas menjalani ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Selain itu, katanya, siasatan lanjut pihaknya mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada kes berkenaan.

"Kes hanya mempunyai kesan cakaran yang sudah sembuh di kaki kanan tetapi ahli keluarganya tidak dapat memberi perincian mengenainya.

"Dia ada memelihara empat kucing dan seekor anjing. Kesemua haiwan peliharaannya tidak pernah mendapat vaksinasi namun sehingga kini, haiwan peliharaan ini dalam keadaan sihat dan tiada perubahan tingkah laku," katanya.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan terus memantau situasi rabies di negeri berkenaan dan akan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak dan JPV Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segera dan komprehensif.

"Kerjasama semua rakyat Sarawak amat diperlukan, dengan mematuhi nasihat kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal.

"Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan awam," katanya.

Menurutnya, kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan dengan melakukan beberapa pencegahan bagi mengelakkan jangkitan.

Antaranya, mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Selain itu, katanya, dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, walaupun semasa fasa kawalan pergerakan ketika Covid-19.

"Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar yang lain.

"Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada berhampiran," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, individu berkenaan juga perlu melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.

"Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 10:35am
d