mutakhir

Jangan alpa, patuhi SOP di PPS

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan petugas dan mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agar sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi berkata, walaupun garis panduan SOP di PPS sudah dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), namun pihaknya bimbang perkara itu tidak ambil serius.

"Kegusaran pihak KKM ketika ini adalah sikap alpa dan ketidakpatuhan SOP di kalangan masyarakat termasuk di PPS yang boleh menyebabkan wabak itu menular membabitkan petugas dan mangsa yang ditempatkan di PPS.

"Seperti kita sedia maklum gelombang ketiga (Covid-19) yang berlaku ketika ini adalah dari sikap alpa kita sendiri.

"Justeru, bagi petugas dan mangsa-mangsa banjir di PPS, kerajaan amat berharap SOP ditetapkan dipatuhi bagi mengelakkan wabak ini terus menular," katanya selepas meninjau dan menyampaikan bantuan kepada 60 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, di sini, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, melalui SOP dikeluarkan NADMA, setiap PPS perlu didisinfeksi sebelum menerima mangsa banjir termasuk menyediakan peralatan mencukupi seperti cecair pembasmi kuman, penyukat suhu, pelitup muka dan kelengkapan perlindungan diri (PPE).

Sementara itu, tinjauan Harian Metro pada 2 petang tadi mendapati jumlah mangsa banjir meningkat kepada 148 mangsa terdiri 62 keluarga dari 11 buah kampung ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman, di sini.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 4:36pm
d