mutakhir

Negeri Sembilan bakal pengeluar udang galah terbesar

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Sebanyak 78 kolam terbiar di negeri ini bakal bertukar 'wajah' menjadi projek penternakan udang galah terbesar dalam negera.

Ia susulan usaha kerajaan negeri melaksanakan projek penternakan udang galah sekaligus menjadikan negeri ini sebagai pengeluar utama udang galah di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri, Bakri Sawir berkata, rancangan itu seiring dengan inisiatif utama kerajaan Persekutuan bagi memperkasakan lagi sektor pertanian dan industri makanan.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti sebanyak 78 kolam terbiar pelbagai saiz sesuai untuk dibaik pulih bagi menjayakan projek berkenaan.

"Usaha ini akan dibuat dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Semblan dan dijangka akan dapat dimulakan dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

"Menjadi hasrat kita untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar utama udang galah kerana permintaan tinggi dipasaran selain membantu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk setempat," katanya selepas melancarkan Projek Pertanian Pinggir Bandar@Hidroponik Nutrient Film Technique (NFT) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, di Dewan Orang Ramai Gedung Lalang 50, di sini, tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan yang juga ahli Exco negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar negeri, Ismail Ahmad.

Mengulas lanjut, Bakri yang juga ADUN Klawang, berkata ketika ini terdapat 43 penternak udang galah yang kebanyakkannya tertumpu di daerah Kuala Pilah, Jelebu dan Rembau.

"Pada tahun lalu kita mengeluarkan hampir 65 tan matrik udang galah, namun permintaan dipasaran ketika ini sentiasa tidak mencukupi," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, baru-baru ini, memperuntukan RM100 juta membabitkan beberapa inisiatif utama bagi sektor pertanian dan industri makanan.

Zafrul berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan penternakan udang galah di Negeri Sembilan.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 5:17pm
d