mutakhir

Dilihat murung sebelum terjun

Oleh Melvin Joni

Kuching: Lelaki orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari aras tiga sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, mangsa berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Katanya, kejadian dilaporkan jam 1.25 petang hari ini oleh pengawal pusat beli-belah berkenaan.

"Hasil siasatan dan temu bual dengan saksi di tempat kejadian mendapati lelaki berkenaan kelihatan murung sebelum melompat dan terjun dari aras tiga bangunan berkenaan.

"Doktor yang bertugas merawat mangsa mengesahkan dia meninggal dunia di HUS akibat kecederaan dialaminya iaitu patah kaki kiri dan cedera di kepala" katanya ketika dihubungi, hari ini.

Awang Din berkata, keluarga memaklumkan mangsa yang masih bujang ada menghadapi masalah mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Kota Sentosa.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 5:55pm
d