mutakhir

Kanak-kanak tergelincir dalam longkang meninggal dunia

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang diselamatkan orang awam selepas tergelincir ke dalam longkang di Taman Seraya, Pinang Tunggal, Tikam Batu, hari ini, disahkan meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Beliau berkata, bapa mangsa memaklumkan anak bongsu dari empat beradik itu dikatakan keluar bermain bola bersama rakannya di padang berhampiran longkang di hadapan rumah mereka pada jam 2 petang tadi.

"Namun pada jam 2.30 petang, mangsa dipercayai tergelincir dalam longkang berkenaan dan dibawa air deras sebelum tersangkut di bawah simen penutup longkang.

"Longkang itu berukuran lebar 0.6 meter manakala dalamnya 0.9 meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, mangsa dikeluarkan oleh pihak bomba dan diberi bantuan pernafasan sebelum dibawa ke HSAH untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan.

Portal MyMetro sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berjaya diselamatkan orang awam selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Seraya, Tikam Batu, hari ini.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak terbabit, Muhammad Danish Yusmadi dipercayai tergelincir di dalam longkang berkenaan dan disedari orang awam yang membantunya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Berita berkaitan

'Pelik Allahyarham tak suruh kemas beg'

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 8:40pm
d