mutakhir

Perlu rentas daerah demi bantu asnaf [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: "Ada satu keluarga asnaf di Pasir Puteh sedang dalam kesempitan dan menunggu bantuan daripada kami menyebabkan saya terpaksa tampil ke balai polis untuk memohon kebenaran rentas daerah," kata seorang aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman.

Faizah, 52, yang ditemui di Balai Polis Wakaf Bharu, di sini, berkata, atas faktor kecemasan itu, pihaknya perlu rentas daerah bagi menyampaikan amanah daripada penyumbang dalam kadar segera.

"Jika diikutkan, saya memang ingin menghentikan sementara kerja kebajikan ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana ingin mematuhi arahan kerajaan agar duduk di rumah.

"Bagaimanapun disebabkan ramai asnaf terkesan terutama tidak dapat bekerja dalam tempoh PKPB, saya perlu tampil membantu mereka dengan mengagihkan wang atau makanan yang disumbangkan beberapa penyumbang," katanya hari ini.

Faizah berkata, dia baru sempat memohon surat untuk rentas daerah pada petang ini memandangkan sejak semalam dan pagi tadi sibuk mengagihkan barang makanan kepada asnaf sekitar daerah ini.

Tidak menafikan sedikit terkejut dengan pelaksanaan PKPB yang bermula hari ini, Faizah bagaimanapun sudah merasakan ia akan diadakan dalam masa terdekat berikutan wabak Covid-19 semakin menular di negeri ini.

"Bagi menjalankan kerja amal ini, saya dan pasukan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan memastikan tiada asnaf di bawah seliaan saya yang tercicir menerima bantuan terutama yang betul-betul terjejas sepanjang PKPB ini," katanya yang sudah lebih 30 terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan itu.

Tinjauan di Balai Polis Wakaf Bharu petang tadi mendapati orang ramai masih membanjiri kaunter untuk mendapatkan surat kebenaran rentas daerah dan difahamkan ia sudah sesak sejak petang semalam lagi sebaik pengumuman PKPB di negeri ini yang berkuat kuasa hari ini sehingga 6 Disember nanti diumumkan.

Bagi Muhammad Husyafri Shah Abd Aziz, 24, pula, dia perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah berikutan kerjanya di syarikat kitar semula yang memerlukan pergerakannya di beberapa daerah.

Dia berkata, sebaik menerima surat majikan hari ini, dia segera hadir ke balai polis untuk urusan itu.

"Saya menetap di Tumpat dan memang perlukan surat kebenaran rentas daerah dan disebabkan itu sebaik pulang kerja tadi, saya segera datang ke sini (Balai Polis Wakaf Bharu) untuk membuat permohonan," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 9:02pm
d