mutakhir

Nasib rakyat pedalaman terbela

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Jumlah besar yang diperuntukkan di dalam Belanjawan 2021 kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) begitu signifikan untuk membantu rakyat khususnya rakyat di pedalaman.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, peruntukan RM10.19 bilion itu mampu membangunkan infrastruktur asas di kampung bagi memastikan penduduk dapat menjalani kehidupan selesa.

Katanya, lebih penting ialah bagaimana rakyat dapat dibantu untuk menjalani kehidupan dengan norma baharu berikutan penularan Covid-19.

"Negara kita terbahagi kepada beberapa elemen, antaranya luar bandar yang membabitkan penduduk yang ramai.

"Di sesetengah tempat, ada yang masih bergelut dengan bekalan asas seperti bekalan air dan elektrik, jalan perhubungan yang perlu dinaik taraf termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.

Azman berkata, program untuk merancakkan ekonomi desa juga dapat diteruskan dengan adanya peruntukan bagi menjana pendapatan golongan yang tinggal di luar bandar.

Katanya, peruntukan lebih RM90 juta yang diumumkan itu adalah jumlah yang signifikan bagi membantu usahawan kecil memulakan atau meneruskan perniagaan sedia ada.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 8:10am
d