mutakhir

Selesai masalah infrastruktur asas penduduk desa

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Pelaksanaan projek jalan luar bandar dengan peruntukan RM1.3 bilion mampu menyelesaikan masalah infrastruktur yang membelenggu penduduk.

Ini kerana masih terdapat jalan perhubungan yang perlu dibaiki atau dinaik taraf bagi keselesaan penduduk terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

Bagi Mohd Hassuandi Hamzah, 38, setiap tahun, pengumuman berkaitan infrastruktur asas di kampung amat dinantikan kerana ia akan memudahkan kehidupan orang ramai.

"Peruntukan yang tinggi kali ini kita harapkan dapat membantu rakyat terbanyak, khususnya penduduk kampung termasuk juga program ekonomi," katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Muhamad Akmal Azam Mohamad Fadzli, 24, berkata, pelbagai insentif yang diperkenalkan dalam belanjawan kelmarin dapat membantu anak muda di kampung sepertinya untuk mengorak langkah meningkatkan ekonomi.

Katanya, dalam keadaan sekarang, belia di luar bandar juga terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi khususnya kepada yang baharu mencari pekerjaan.

"Skim latihan pekerjaan misalnya, membuka ruang kepada anak muda untuk mencuba nasib sebagai usahawan. Ini peluang yang tidak boleh dilepaskan," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 8:30am
d