mutakhir

2 lelaki ditahan bawa buah, sayur

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis merampas 1,440 kilogram buah dan sayuran tanpa permit import bernilai RM9,450 di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar kelmarin.

Pengarah MAQIS Perlis Mohamad Arshad Raffin berkata, antara barangan yang dirampas termasuk pisang, mangga, nanas, cili besar, ubi kemili, ubi sengkuang dan bijirin berupa kacang.

"Kesemua barangan berkenaan cuba dibawa masuk ke negara ini dengan menggunakan lori yang dibawa oleh dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.

"Tindakan ini jelas salah kerana barangan yang dibawa berpotensi untuk dijangkiti perosak dan penyakit," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menahan kedua lelaki berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, kesemua barangan terbabit dirampas pihaknya dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 10:59am
d