mutakhir

Penantian 50 tahun berakhir

Oleh Ramli Ibrahim

Kuala Krai: "Lebih 50 tahun kami bergadai nyawa menggunakan jambatan uzur, Alhamdulilah jambatan yang dinantikan lebih 500 penduduk sudah siap," kata Mohamad Deris, 70, di Kampung Pemberian, dekat sini.

Menurutnya, jambatan merentasi Sungai Kelantan menghubungkan Kampung Pemberian itu dengan Kampung Manjor, siap dibina tiga bulan lalu dan sudah dibenarkan melaluinya.

"Ia memang dinantikan kerana kami sudah tidak tahan lagi berdepan risiko melalui jambatan uzur dan kerap rosak dirempuh arus deras.

"Sudah beberapa kali penduduk yang menunggang motosikal terjatuh ke dalam sungai itu kerana jambatan bergoyang ketika air sungai naik.

"Alhamdulillah kerajaan bina jambatan baharu itu dan tidak lagi kami bersama penduduk lain bergadai nyawa melalui jambatan lama yang uzur.

"Kalau tidak hujan musim tengkujuh sekarang paling membimbangkan kami kerana melalui jambatan lama yang kerap juga rosak dan runtuh," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Difahamkan pembinaan jambatan konkrit sepanjang 240 meter dengan ketinggian 30 meter itu menelan belanja hampir RM30 juta dan siap dibina tiga bulan lalu.

Sementara itu Ketua Komuniti Kampung Pemberian, Nordin Hashim berkata, walaupun pembinaan jambatan baharu itu belum siap sepenuhnya tetapi mereka sudah dibenarkan untuk melaluinya.

Menurutnya, ia berikutan pihak terbabit bimbang dengan keselamatan penduduk menggunakan jambatan lama yang uzur dan tidak selamat dilalui terutama apabila masuk musim hujan.

"Kini hanya tinggal pembinaan jalan menghubungkan ke jambatan itu di Kampung Manjor belum siap dan Insya-Allah boleh digunakan tidak lama lagi.

"Sebelum ini, kita menggunakan jambatan lama yang kerap rosak dan berbahaya terutama kepada pelajar sekolah setiap hari.

"Malah, apabila jambatan lama rosak terpaksa pula bagi penduduk menggunakan bot untuk menyeberangi sungai itu," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 3:09pm
d