mutakhir

Dilanda banjir termenung, pekebun rugi RM12,000 [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: Pekebun di Kampung Tok Jembal, di sini, mengalami kerugian ribuan ringgit apabila tanaman diusahakan rosak akibat dilanda banjir termenung, sejak Selasa lalu.

Penduduk mendakwa keadaan itu berlaku disebabkan tali air di kawasan berkenaan tersumbat akibat projek pembinaan taman perumahan kira-kira dua kilometer daripada kebun itu.

Pekebun, Mustafa Maidin, 61, berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian sebanyak RM12,000 apabila 2,000 batang pokok petola di kebunnya mati selepas ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter.

"Lebih menyedihkan apabila semua tanaman berkenaan sudah berputik dan hanya menunggu masa untuk dipetik. Dua tahun lalu keadaan sama dilalui apabila kebun diusahakan bersama isteri (Nur Haslina Mohd, 41) dinaiki air paras betis.

"Bagi mengelakkan kerugian, saya menukar kaedah penanaman daripada atas tanah kepada tanaman fertigasi gantung. Saya menggantung setinggi satu meter tetapi tidak sangka tahun ini air naik sehingga melebihi satu meter.

"Air akan surut kalau keadaan cuaca panas dan sehingga hari ini, air surut sedikit sehingga paras paha, tetapi akan naik sekiranya hujan," katanya.

Justeru, pesara kakitangan kerajaan itu meminta pihak berkaitan mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah itu.

Bukan sahaja pekebun, masalah itu turut dirasai beberapa penduduk yang tinggal di kawasan rendah berhampiran tapak projek berkenaan apabila kawasan rumah mereka dinaiki air.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 3:19pm
d