mutakhir

377 individu dikompaun ingkar arahan [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 377 individu dikompaun semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 381 individu ditahan kerana melanggar arahan PKPP manakala empat direman.

Menurutnya, antara kesalahan ingkar arahan termasuk aktiviti pusat hiburan (96), tidak memakai pelitup muka (80), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (69) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (57).

"Selain itu, kesalahan lain adalah rentas negeri/daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (33) dan lain-lain (46).

"Mengenai Operasi Benteng pula menahan 20 pendatang asing tanpa izin (Pati), tiga penyeludup dan merampas sembilan kenderaan darat," katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengadakan 278 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam.

Beliau berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, 72,182 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 74 hotel dan 18 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta swasta.

"Daripada jumlah itu, 9,855 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 404 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 61,923 individu sudah discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 4:21pm
d